Madrasah Nurul Hidayah.
Pondok Pengajian Islam.
Banggol Setol,Kg Tembak B.
Kuala Ketil, Kedah Darul Aman.

selamat datang

Tel/Fax : 04-4160442 E-mail : pondoktembak@yahoo.com / alumnipondoktembak@yahoo.com Nama akaun : Madrasah Nurul Hidayah Bank Islam Malaysia Berhad No Akaun : 02018010037479 / 02020010027433 Sumbangan anda diucapkan jutaan terima kasih.

Jumaat, 15 Mei 2009

Selamat Hari Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Ahad, 10 Mei 2009

Pengasas 1 Pondok Pasir Tumboh

Tuan Guru Hj Mustafa b Hj Abu Bakar
Tempat lahir : Kampung Terusan Limbat, Kota Bharu
Nama Ayahanda : Hj Abu Bakar bin Hj Abdul Latif bin Abdul Ghani (meninggal sekitar 1966) di mana beliau pernah berguru dengan Tok Seridik, Kuala Nipah sewaktu berada di Mekah

Nama Bonda : Hajah Mariam bt Hj Daud iaitu anak kepada Tuan Guru Hj Daud b Hj Hasan (meninggal lebih kurang tahun 1957) yang merupakan seorang ulama’ di Kampung Machang Limbat yang sempat berguru dengan Hj Said Kg Lama, Besut, Hj Ismail b Hj Mahmud, Kg Atas Banggol, Kota Bharu, Hj Omar Mentuan dan Hj Nik Man Tua, Jalan Che Su, Kota Bharu.

Pendidikan

a. Belajar asas agama dengan ayahandanya sendiri
b. 1930 bersekolah di Sekolah Melayu Kubang Keranji
c. Pondok Tok Kenali selama 3 tahun tetapi tidak sempat belajar dengan Tok Kenali sendiri disebabkan beliau telah meninggal dunia ketika itu
d. 1940 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Ali Salahuddin b Awang, Pulau Pisang selama 3 tahun setengah
e. 1943 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Abdullah Tahir, Bunut Payong
g. 1950 menyambung pengajian di Mekah selama 3 tahun 8 bulan iaitu sehingga tahun 1953

Antara Guru-gurunya

Tuan Guru Hj Ahmad b Hj Muhammad Yusof ( Tok Bangkok )
Tuan Guru Hj Muhammad Jebing ( Anak saudara Tok Kenali )
Tuan Guru Hj Ismail Perol
Tuan Guru Hj Salahuddin b Awang
Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong
Tuan Guru Hj Yaakub Kelong
Tuan Guru Hj Syihabuddin al-Mandili
Mufti Hj Mohd Nor b Ibrahim ( Mufti Kelantan )
Syeikh Daud b Sulaiman al-Kelantani
Syeikh Abdul Kadir al-Mandili
Syeikh Sayyid Amin al-Kutubi
Syeikh Yasin al-Fadani
Syed Alawi
Syeikh Ismail Kubang kali (Rantau Panjang)

Membuka pondok

Setelah pulang ke tanahair pada pertengahan tahun 1953 maka beliau bersama adiknya mulai mengajar di atas balaisah kepunyaan ayahandanya.
1954 dengan usaha mereka bersama bapa sepupunya Hj Yazid b Hj Yaakub b Hj Ghani , Penggawa dan orang-orang kampung maka sebuah madrasah untuk tempat berjemaah dan belajar berjaya dibina. Ia dinamakan al-Madrasah ad-Diniah al-Bakriah sempena nama ayahanda tercinta
Khidmat dan Hobi

a. Aktif dalam politik kepartian dan pernah dibacarakan di Terengganu atas tuduhan mengajar tanpa tauliah oleh musuh politiknya di mana kes ini tidak selesai sehingga beliau menghembus nafas yang terakhir

b. Suka mengumpul 40 jenis barangan besi yang berpangkalkan huruf ‘Pa’ seperti paku, Pahat. Dan lain-lain

c. Membuat tasbih sendiri menggunakan kayu-kayu daripada pokok yang tidak mempunyai teras seperti betik, ubi dan sebagainya

Sakit dan Meninggal Dunia

Tuan Guru Hj Mustafa telah meninggal dunia pada 19 April 1984

Antara Murid-muridnya

Tuan guru Hj Abdul Latif b Abdul Rahman(Mudir Pondok Pengkalan Hulu, Keroh, Perak)
Hj Jaafar b Hj Muhammad, Madrasah Merbau Patah, Kuala Terengganu
Tuan guru Hj Muhammad b Hj Ilyas, Pondok Bukit Keledang, Triang, Pahang
Tuan guru Hj Husin b Ibrahim, Pondok Amir, Besut, Terengganu
Tuan guru Hj Abdul Rahman b Awang Kecik, Permatang Jeram, Kubang Pasu, Kedah
Tuan guru Hj Ahmad b Hj Amin, Pondok Sungai Baru, Alor Star, Kedah
Tuan guru Hj Muhamed b Mat Diah ( Pengasas Pondok Beta Hilir, Kelantan)
Tuan guru Hj Ghazali b Hj Abdullah ( Pengasas Pondok Tunjung, Kelantan )
Tuan guru Hj Awang b Yusuf ( Mudir Pondok Gelang Mas, Kelantan)
YB Ustaz Hj Daud b Yusuf (Bekas ADUN Pasir Tumboh dan Timb Pemegang Amanah 2 Pusat Pembangunan Pondok Berhad)
Prof Abdul Hayyi b Abdul Syakur , Pensyarah UM
Ustaz Hj Zawawi b Hj Abdullah ( Mudir Taman Islam, Kemaman, Terengganu)
Ustaz Mokhtar Senik ( Pondok an-Nur, Kuantan, Pahang )
YB Ustaz Taib Azamuddin ( Ahli Parlimen Baling dan bekas imam besar Masjid Negara)
Tuan Guru Hj Abdul Aziz b Hj Hitam, Tanjung Bedil, Alor Star, Kedah
Ustaz Ismail b Taib, Pondok Tembak, Kuala Ketil, Kedah
Pakda Eil, Mudir Pondok Kerasak, Thailand

Dikirim dalam Pondok Pasir Tumboh

Parit Panjang

Oleh : YUSSAINE YAHYA
jihadtegakislam.blogspot.com

Saya tiba di Parit Panjang sekitar jam 8.00 pagi. Saya diarahkan oleh Ustaz Mohd Lutfi Arifin (Exco Dewan Pemuda PAS Kedah dan antara tenaga penggerak Madrasah Nurul Hidayah,Tembak, Parit Panjang) untuk terus menghala ke pondok beliau di Kg Tembak lebih kurang 7 kilometer dari Pekan Parit Panjang. Saya disapa oleh suara para murabbi di Madrasah Nurul Hidayah yang sedang giat mendidik dan menyampaikan ilmu kepada 110 pelajar madrasah. Suasana tenang, dikelilingi hutan, ladang getah dan tanah bendang serta suasana kampong yang masih tebal dapat dirasai di sini. Saya sangat tenang berada di sini.

Madrasah Nurul Hidayah sendiri sudah 20 tahun terdiri di sini. Menjadi tumpuan masyarakat setempat menimba ilmu dan menghantar anak-anak mereka untuk mendalami Al Quran dan Al Hadis. 85% pelajar adalah anak tempatan. Saya bertanya Us Lutfi, “Berapa jumlah orang UMNO yang tinggal di sini ustaz?”. Beliau menjawab, “ Hanya 7 orang Ustaz, habuan nak buat ubat aja” katanya. Saya tersenyum dan dia ketawa besar.

UMNO tidak subur di tengah-tengah masyarakat berilmu dan punya kesedaran Islam yang tinggi serta didedahkan dengan ilmu Islam yang sebenar. UPU Tembak sahaja menyumbang 1000 lebih undi kepada PAS dalam PRU 12 yang lalu sekaligus memberikan kemenangan besar kepada YB Ustaz Taib Azamuddeen. Kita mesti menerima hakikat bahawa kita mesti bekerja keras mendakwahkan Melayu kepada Islam dan meyokong perjuangan PAS. Sokongan Melayu Muslim sahajalah yang akan dapat memberikan kekuatan sebenar kepada PAS. Saya tidak nafikan sokongan bukan Melayu juga sangat penting. Tetapi sokongan Melayu Muslim adalah lebih diperlukan. Jangan terus merasa selesa dengan sokongan bukan Muslim dan kita mesti bekerja keras untuk menyedarkan Melayu untuk bersama perjuangan kita seperti di Parit Panjang. Kita akan menjaga sokongan dan undi non Muslim dan kita tidak akan khianati mereka. Namun kita tidak pernah berjanji dengan mereka untuk tidak melaksanakan Islam bila kita menang. Tatpi mengapa kita bertegas tidak akan laksanakan syariat Islam bila kita dah menang. Siapa yang gilakan kuasa yang sebenarnya ni?. PAS tidak akan jadi pengkhianat selagi ia kekal bersama Islam, prinsip perjuangan Islam, dasar Islam dan bekerja kearah tertegaknya Daulah Islamiyah. Tetapi PAS adalah pengkhianat jika ia menjadi pengkhianat kepada Islam. Atas kemasalahatan apa lagi yang nak dijadikan alasan?.